Sunday, September 29, 2013

Nostalgia kuih wadeh

Kuih wade ini kuih kegemaran saya sejak kecil. Walaupun begitu, inilah kali pertama saya membuat kuih ini... sebelum ini asyik membeli sahaja.


Rupa-rupanya senang sahaja resepinya. (Sori kerana bentuk kuih tidak berapa comel)

Resepi kuih wade - anggaran 20-30 biji

300 gram kacang dal (terpulanglah jika ramai yang hendak makan buatlah sekilo) 
- perlulah direndam paling sekejap pun 3 atau 4 jam

1 tangkai daun kari (dileraikan dan dipotong halus jika suka)

sebiji bawang besar (dipotong dadu)

1 batang cili hijau (dipotong halus) Boleh juga digunakan cili kering yang dipotong halus)

1/2 sudu teh jintan manis (jintan yang kasar bentuknya)

Sedikit garam

Cara-cara membuatnya:

1. Kacang dal yang sudah direndam ditoskan airnya.

2. Ambil 1/4 dari kacang tadi dan diletakkan dalam mangkuk lain dan 3/4 lagi dimesin halus (ditumbuk pun boleh juga). Oleh kerana kacang ini dalam keadaan lembap maka tidak boleh di mesin menggunakan pengisar kering. Gunakan pengisar biasa dengan ditambah sedikit sahaja air...jangan banyak tau)

3. Setelah dimesin perlulah ditoskan sekali lagi (guna penapis halus untuk membuang air yang terdapat dalam kacang)

4. Setelah itu diletakkan di dalam mangkuk dan dicampurkan dengan daun kari, bawang besar, cili hijau, jintan manis dan garam .

5. Cara hendak membentuk kuih ini.
- ambil sehelai plastik, ambil sejemput kuih ini dan tepekkan di atas plastik yang diletakkan di atas telapak tangan.
- apabila minyak sudah panas gorenglah kuih ini dalam minyak yang banyak dan api sederhana.
- kuih ini akan timbul ke atas apabila sudah masak

* kuih saya tidak dapat dibentuk kerana adunannya cair (saya tidak toskan kacang ini selepas dikisar kerana hendak cepat untuk menyiapkan kuih untuk sarapan encik hubby)

Dahulunya dan sehingga kini pun saya panggil kuih ini kuih keling...kerana yang membuatnya adalah orang India. (perkataan keling itu sebenarnya sensitif). Saya mula memakan kuih ini ketika umur saya dalam lingkungan 5 tahun. 

Dahulu ketika kecil saya menetap di Ipoh dan arwah abah sering membelinya untuk bawa balik kerumah. Arwah sering membelinya dalam perjalanan selepas dia balik mengajar di sekolah Cator avenue, Ipoh. Arwah bekerja sebagai guru agama atau pun ustaz ketika itu dan  saya dan kakak seronok sangat apabila abah membawa balik kuih ini.

Arwah abah memang selalu sahaja membawa balik makanan ke rumah, ada-ada sahaja yang arwah 'tapaukan'. (Zaman 70 budaya makan di luar tidak begitu ketara) dan dari situlah kami belajar makan masakan mamak... rojak mamak dan mee goreng mamak.

Mee goreng mamak ... ada satu tempat yang selalu abah pergi sehinggakan mamak di situ pun mengenali abah. apabila lama abah tidak ke gerainya dia akan bertanya sebegini. "Ustaz ..lama tarak mari" sehinggakan gerai mamak itu kami panggil dengan nama mee mamak lama tarak mari.

Nostalgia pula catatan saya pagi ini. Selamat mencuba resepi wadeh saya ini.

2 comments: